MILAN: Kelab Norway, Bodo/Glimt, melakar sejarah terbesar mereka di pentas Eropah apabila menewaskan Inter Milan 2-1 di San Siro, sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara UEFA dengan agregat meyakinkan 5-2, awal pagi tadi.
Berbekalkan kelebihan 3-1 dari aksi pertama di Arctic Circle minggu lalu, wakil Norway itu sekali lagi mempamerkan aksi berdisiplin dan klinikal menerusi jaringan babak kedua Jens Petter Hauge dan Hakon Evjen.
Kemenangan bersejarah itu menyaksikan mereka bakal berdepan sama ada Manchester City atau Sporting CP pada pusingan seterusnya.
Lebih 3,000 penyokong Bodo/Glimt hadir ke Milan jumlah yang cukup besar bagi kelab dari bandar kecil berpenduduk sekitar 50,000 orang.
Ironinya, jumlah penonton di San Siro melebihi populasi keseluruhan bandar Bodo hampir 20,000 orang, namun majoriti penyokong tuan rumah pulang hampa selepas Inter gagal bangkit walaupun meraih gol sagu hati lewat permainan.
Gol tunggal Inter hadir menerusi Alessandro Bastoni, namun ia tidak cukup untuk mengubah nasib pasukan kendalian Cristian Chivu itu.
Kekalahan Inter menjadi satu lagi tamparan buat bola sepak Itali di pentas Eropah musim ini.
Dua lagi wakil Serie A, Juventus dan Atalanta, turut berada dalam situasi getir selepas ketinggalan kepada Galatasaray dan Borussia Dortmund menjelang aksi timbal balik.
Jika keputusan tidak memihak kepada mereka, kemungkinan besar keempat-empat wakil Itali tersingkir daripada Liga Juara-Juara musim ini.
Selepas babak pertama yang menyaksikan Inter mengasak menerusi permainan sayap dan lambungan bola ke dalam kotak penalti, pertahanan kental Bodo/Glimt kekal utuh.
Hauge memecah kebuntuan pada minit ke-58 dalam situasi kelam-kabut berpunca daripada kesilapan Manuel Akanji, yang baru kembali ke padang selepas menerima rawatan akibat luka di kening.
Cubaan awal Ole Didrik Blomberg berjaya ditepis penjaga gol Yann Sommer, namun Hauge pantas menyambar peluang untuk gol keenamnya dalam kempen ini.
Sepuluh minit kemudian, Akanji hampir menebus kesilapan tetapi percubaannya sekadar menggegar tiang.
Evjen kemudian memastikan kemaraan pasukannya pada minit ke-72 apabila menyudahkan hantaran Hauge dengan rembatan padu menewaskan Sommer.
Walaupun Bastoni sempat merapatkan kedudukan, Inter tidak mampu mencipta kebangkitan dramatik.
Dengan penyingkiran ini, Inter kini dijangka memberi tumpuan penuh kepada perebutan kejuaraan domestik, apabila mereka selesa mendahului carta liga dengan kelebihan 10 mata ke atas musuh tradisi, AC Milan.
Sementara itu, Bodo/Glimt terus menulis kisah dongeng Eropah dan selepas empat gelaran liga Norway dalam enam musim terakhir, mereka kini bukan lagi pasukan kerdil yang boleh dipandang rendah.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back