Manchester United melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Everton 1-0 di Anfield Road, dengan Benjamin Sesko muncul sebagai wira dari bangku simpanan.
Gol tunggal penyerang Slovenia itu pada minit ke-71 memastikan tiga mata berharga buat skuad kendalian Michael Carrick, sekali gus meneruskan permulaan tanpa kalah beliau bersama Red Devils.
Sesko yang masih belum disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam enam perlawanan di bawah Carrick, kini berada pada prestasi terbaiknya musim ini. Sejak pemecatan Ruben Amorim bulan lalu, penyerang berusia 21 tahun itu sudah menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir.
Rekod tersebut jauh berbeza berbanding permulaan hambarnya selepas perpindahan bernilai £74 juta (RM388 juta) dari RB Leipzig, apabila hanya meledak dua gol dalam 22 penampilan awal.
Secara keseluruhan, perlawanan berlangsung dalam tempo perlahan dengan kedua-dua pasukan bergelut mendapatkan rentak selepas 13 hari tidak beraksi. Namun, kualiti gerakan yang membawa kepada gol kemenangan United jelas menyerlah.
Sesko memulakan gerakan dengan melorongkan bola kepada Matheus Cunha sebelum memecut ke hadapan. Bryan Mbeumo kemudian menyempurnakan gerakan itu dengan hantaran tepat yang disudahkan Sesko untuk gol tunggal perlawanan.
Sebelum itu, penjaga gol England, Jordan Pickford, menafikan percubaan Amad Diallo seawal minit kedua, peluang terbaik pada separuh masa pertama.
Mbeumo, yang sekali lagi dipilih mengetuai jentera serangan mengatasi Sesko, hampir meletakkan United di depan lebih awal, namun rembatan dari sudut sukar pada awal babak kedua tersasar tinggi.
Kekalahan itu menyaksikan Everton kendalian David Moyes gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan di laman sendiri ketika mereka masih menyesuaikan diri di stadium baharu berkapasiti 52,000 tempat duduk.
Pasukan tuan rumah turut terlepas peluang untuk melonjak ke tangga ketujuh dan terus kekal di pinggiran perebutan slot ke pentas Eropah musim depan.
United pula terpaksa bertahan pada penghujung permainan apabila percubaan jarak jauh Michael Keane memaksa Senne Lammens melakukan aksi menyelamat penting.
Kemenangan ini meletakkan United tiga mata di hadapan Chelsea dan Liverpool dalam persaingan ke Liga Juara-Juara musim depan, dengan hanya lima pasukan teratas layak.
Lebih menarik, selepas hanya mencatat dua perlawanan tanpa bolos sepanjang musim sebelum Amorim dipecat, United kini merekodkan tiga ‘clean sheet’ dalam enam perlawanan di bawah Carrick petanda kebangkitan sebenar kelab itu yang semakin hampir kembali ke pentas Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tiga musim.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back