KUALA LUMPUR - Anak sulung kepada pelakon terkenal, Amyza Aznan, iaitu Andre Mikhail, 23, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi selepas berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Berita pemergian Allahyarham dikongsikan sendiri oleh Amyza, 50, menerusi Instagram Story miliknya.
“Assalammualaikum, dengan dukacita anak saya Andre Mikhail bin Khairil Izhar telah pulang ke negeri yang abadi. Minta semua sedekahkan al-Fatihah kepada anak saya,” tulisnya ringkas.
Pelakon itu turut memuat naik foto yang memperlihatkan seorang pegawai perubatan sedang melakukan pemeriksaan terhadap Andre ketika menerima rawatan.
Sebelum ini, Amyza pernah membuat rayuan terbuka kepada individu yang mempunyai kepakaran dalam perubatan alternatif bagi membantu merawat anaknya yang berada dalam keadaan kritikal. Menerusi beberapa hantaran di Instagram, beliau tidak putus-putus mengharapkan doa serta sokongan orang ramai sepanjang Andre menjalani rawatan.
Pada Februari tahun lalu, Amyza berkongsi bahawa Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga, satu perkhabaran yang mengundang simpati ramai.
Dugaan yang menimpa keluarga itu tidak terhenti di situ apabila selang setahun kemudian, anak keduanya, Adrian Adam, 18, turut disahkan menghidap kanser tulang. Perkongsian tersebut sekali lagi mengejutkan dan meruntun hati para pengikut serta rakan selebriti.
Pemergian Andre nyata meninggalkan kesan mendalam buat keluarga dan mereka yang mengikuti perkembangan kesihatannya sejak setahun lalu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back