ISTANBUL, 19 Feb (Bernama-Anadolu) - Pengarah filem “The Voice of Hind Rajab” menolak untuk menerima anugerah pada satu majlis di Berlin minggu ini selepas seorang jeneral Israel turut diberikan pengiktirafan dalam perhimpunan yang sama, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pembuat Filem Tunisia, Kaouther Ben Hania memilih untuk tidak menerima anugerah "Filem Paling Berharga" pada majlis gala "Cinema for Peace" pada Isnin dan meninggalkan trofi berkenaan.
Dalam ucapannya, Ben Hania berkata beliau merasakan tanggungjawab adalah lebih besar daripada rasa syukur, dan menggunakan detik itu untuk memberikan kenyataan mengenai keadilan serta akauntabiliti terhadap Hind Rajab, seorang kanak-kanak perempuan Palestin berusia lima tahun yang dibunuh oleh tentera Israel di Gaza pada 2024, manakala pasukan penyelamat yang cuba menyelamatkannya turut ditembak.
"Keadilan bermaksud akauntabiliti. Tanpa akauntabiliti, tiada keamanan. Tentera Israel membunuh Hind Rajab; membunuh keluarganya; membunuh dua paramedik yang datang untuk menyelamatkannya, dengan persubahatan kerajaan dan institusi paling berkuasa di dunia.
"Saya enggan membiarkan kematian mereka menjadi sekadar latar belakang untuk ucapan sopan mengenai keamanan. Tidak sama sekali ketika struktur yang membolehkan perkara itu berlaku kekal tidak disentuh.
"Jadi malam ini, saya tidak akan membawa pulang anugerah ini. Saya meninggalkannya di sini sebagai peringatan. Apabila keamanan diusahakan sebagai kewajipan undang-undang dan moral, berakar umbi pada akauntabiliti terhadap genosid, barulah saya akan kembali dan menerimanya dengan gembira," katanya.
Ben Hania berkata kematian Hind "bukanlah satu pengecualian, ia adalah sebahagian daripada genosid," sambil mengkritik tokoh politik yang menyifatkan pembunuhan orang awam secara besar-besaran sebagai "pertahanan diri" atau "keadaan yang kompleks" selain memperlekehkan penunjuk perasaan.
"Keamanan memerlukan keadilan dan akauntabiliti, bukan sekadar slogan yang indah," katanya.
“The Voice of Hind Rajab” diangkat daripada kisah benar Hind Rajab, yang terperangkap di dalam kereta keluarganya pada 29 Jan 2024 selepas kenderaan itu ditembak oleh tentera Israel di Bandaraya Gaza, dan ditemukan maut selepas hampir dua minggu dalam ketidakpastian.
Hind sedang dalam perjalanan bersama keluarganya, termasuk sepupunya Layan Hamadeh, 15, untuk melarikan diri daripada pertempuran di utara Gaza apabila mereka dihujani tembakan Israel, menurut Bulan Sabit Merah Palestin.
Filem itu memfokuskan kepada rakaman audio panggilan telefon terakhir Hind kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, yang memaparkan rayuannya meminta pertolongan.
Insiden itu mengundang kritikan global selepas timbul laporan bahawa Israel pada mulanya cuba menafikan kematiannya, selain dakwaan bahawa pembunuhan itu adalah satu tindakan yang tidak adil.
Sumber: BERNAMA-ANADOLU
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back