PARIS/LISBON: UEFA mengesahkan akan membuka siasatan terhadap dakwaan kelakuan diskriminasi susulan insiden membabitkan penyerang Real Madrid, Vinicius Junior dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Benfica di Lisbon.
Perlawanan play-off kalah mati di Estadio da Luz itu terhenti kira-kira 10 minit selepas Vinicius membuat aduan kepada pengadil dari Perancis, Francois Letexier, berhubung pertelingkahan dengan pemain tengah Benfica, Gianluca Prestianni.
Insiden tercetus sejurus selepas Vinicius menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 buat Real Madrid. Bintang antarabangsa Brazil itu kemudian dilayangkan kad kuning kerana meraikan jaringan dengan menari di hadapan penyokong tuan rumah.
Tidak lama selepas itu, berlaku pertikaman lidah antara beliau dan Prestianni. Vinicius kemudiannya berlari mendapatkan pengadil dan mendakwa dipanggil “mono” perkataan dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud monyet.
Prestianni, 20, yang dilihat menutup mulutnya dengan jersi ketika bercakap dengan Vinicius, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
UEFA dalam kenyataan ringkas memaklumkan bahawa badan induk bola sepak Eropah itu akan menyiasat dakwaan berkenaan selaras dengan protokol anti-rasisme yang ditetapkan.
Jurulatih Benfica, Jose Mourinho, mengkritik cara Vinicius meraikan gol dan menyifatkannya sebagai provokatif terhadap pemain serta penyokong tuan rumah.
“Apabila anda menjaringkan gol seperti itu, anda perlu meraikannya dengan penuh hormat,” katanya.
Bagaimanapun, badan anti-diskriminasi bola sepak Britain, Kick It Out, membidas kenyataan Mourinho dan menegaskan fokus utama harus diberikan kepada laporan diskriminasi yang dibuat.
“Apabila seseorang melaporkan diskriminasi dalam bola sepak atau di mana-mana sahaja, keutamaan adalah memastikan mereka didengar dan disokong,” menurut kenyataan badan itu.
Menurut Kick It Out, menumpukan perhatian kepada cara Vinicius meraikan gol, bukannya dakwaan yang dibangkitkan, boleh menjejaskan mangsa serta menghantar mesej salah kepada masyarakat.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, turut menyuarakan rasa terkejut dan sedih terhadap insiden berkenaan.
Beliau memuji tindakan pengadil yang mengaktifkan protokol anti-rasisme dan menegaskan bahawa tiada tempat untuk rasisme dalam sukan mahupun masyarakat.
“Tiada langsung ruang untuk rasisme dalam sukan kita dan dalam masyarakat,” tulisnya di Instagram.
UEFA dijangka meneliti laporan rasmi pengadil serta bukti rakaman sebelum menentukan sebarang tindakan lanjut.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back