SUNDERLAND – Liverpool berjaya menamatkan rekod tanpa tewas Sunderland di laman sendiri dalam Liga Perdana Inggeris selepas menundukkan tuan rumah 1-0 di Stadium of Light awal pagi semalam.
Gol kemenangan dijaringkan oleh kapten Virgil van Dijk pada minit ke-61 menerusi tandukan hasil sepakan penjuru daripada Mohamed Salah, sekali gus membawa tiga mata penting kepada The Reds dan merapatkan jurang dengan pasukan dalam kelompok empat teratas liga bagi merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah. Sunderland sebelum ini tidak tewas dalam 12 perlawanan liga di gelanggang sendiri.
Sunderland memulakan perlawanan dengan tempo tinggi, memaksa penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, membuat beberapa penyelamatan penting. Namun, Liverpool mula menguasai permainan menjelang separuh masa pertama dan hampir mendahului menerusi percubaan Florian Wirtz yang terkena tiang. Tekanan pasukan pelawat meningkat pada separuh masa kedua sehingga membawa kepada gol kemenangan.
Pengurus Liverpool, Arne Slot, memuji kesabaran dan disiplin taktikal pemainnya. “Kami sedar perlawanan ini sukar kerana menentang pasukan yang kuat di laman sendiri. Pemain kekal tenang dan akhirnya diberikan ganjaran,” katanya. Slot menambah, “Prestasi ini mencerminkan kematangan pasukan, kami berjaya mengawal permainan selepas mendahului dan mengekalkan pertahanan yang tersusun.”
Sementara itu, Van Dijk menekankan kepentingan mengekalkan momentum bagi terus memberi tekanan dalam persaingan liga. “Kemenangan seperti ini amat penting. Setiap mata sangat berharga menjelang penghujung musim,” ujarnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back