Chelsea gagal meneruskan rentak kemenangan di bawah jurulatih baharu, Liam Rosenior, selepas dikejutkan kebangkitan Leeds United untuk mengikat perlawanan 2-2 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
The Blues kelihatan hampir meraih kemenangan kelima berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mendahului 2-0, namun dua jaringan pantas Leeds dalam tempoh enam minit memusnahkan harapan mereka.
Keputusan itu menyaksikan Chelsea sudah tercicir 17 mata daripada pendahulu liga musim ini, 15 daripadanya di laman sendiri.
Joao Pedro membuka jaringan pada minit ke-24 hasil gandingan kemas bersama Cole Palmer, sebelum Palmer menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti pada minit ke-58.
Namun Leeds bangkit menerusi penalti Lukas Nmecha pada minit ke-67, sebelum Noah Okafor menyamakan kedudukan selepas pertahanan Chelsea gagal mengeluarkan bola dengan baik.
Chelsea hampir meraih kemenangan pada masa kecederaan, namun Palmer melepaskan peluang dari jarak dekat.
“Kami perlu lebih profesional dalam detik penting,” kata Rosenior. “Jika kami fokus sepanjang 90 minit, pasukan ini ada potensi luar biasa.”
Chelsea kekal di tangga kelima liga, satu mata di belakang Manchester United. Dalam perkembangan lain, pertahanan kiri Marc Cucurella dilaporkan mengalami kecederaan hamstring dan akan menjalani pemeriksaan lanjut.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back