MANCHESTER – Manchester United menzahirkan hasrat untuk mengekalkan rentak kemenangan apabila berdepan West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London awal pagi esok.
Di bawah kendalian sementara Michael Carrick, skuad The Red Devils dilihat memperoleh semangat baharu selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut dan kini berada dalam kelompok empat teratas liga.
Kapten pasukan, Bruno Fernandes, menganggap empat kemenangan berturut-turut itu sebagai pencapaian yang positif, namun beliau menekankan bahawa sasaran seterusnya ialah meraih kemenangan kelima.
“Yang paling penting sekarang ialah kami perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perlawanan seterusnya menentang West Ham. Semua pemain sedar bahawa usaha berterusan diperlukan bagi mengekalkan prestasi yang baik ini,” kata pemain kebangsaan Portugal itu.
Beliau menambah, “Empat kemenangan berturut-turut adalah satu pencapaian yang amat baik, tetapi matlamat kami sekarang adalah untuk mencapai lima kemenangan berturut-turut.”
Selain itu, Fernandes menasihati rakan sepasukan supaya tidak terlalu bermegah diri kerana keyakinan yang melampau boleh meletakkan mereka dalam situasi berbahaya.
“Memang benar kami berasa lebih yakin setiap kali menjuarai perlawanan, tetapi kami perlu kekal fokus dan tidak memandang rendah pasukan lain. Kami mahu mengekalkan rentak kemenangan ini,” ujarnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back