LONDON - Manchester United telah memulakan proses mencari pengurus tetap baharu walaupun Michael Carrick menunjukkan permulaan yang memberangsangkan sebagai pengendali sementara.
Bekas kapten kelab, Gary Neville, mendedahkan perkara itu menerusi The Gary Neville Podcast, dengan menyatakan bahawa pihak pengurusan tertinggi kelab telah memaklumkan pencarian pengurus baharu sedang dijalankan.
Neville berkata beliau sendiri mendapatkan pengesahan terus daripada kelab berhubung pendirian rasmi mereka susulan spekulasi mengenai kemungkinan Carrick dilantik secara tetap.
“Saya bertanya kepada kelab tentang pendirian rasmi mereka dan mereka memaklumkan bahawa proses mencari pengurus lain telah pun dimulakan,” katanya.
Pendedahan itu memberi gambaran bahawa pengurusan Manchester United memberi tumpuan kepada perancangan jangka panjang dan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru berdasarkan keputusan jangka pendek.
Menurut Neville, kelab bercadang menunggu sehingga hampir penghujung musim sebelum membuat keputusan muktamad, tanpa mengira prestasi pasukan dalam beberapa perlawanan akan datang.
Carrick telah membantu menstabilkan kempen United dengan membimbing pasukan mencatat empat kemenangan berturut-turut sejak mengambil alih tugas. Namun begitu, Neville menjelaskan bahawa keputusan perlawanan semata-mata tidak menjamin Carrick akan diberikan jawatan secara tetap.
Walau bagaimanapun, Carrick tetap berpeluan melalui proses pemilihan rasmi sekiranya beliau menyatakan hasrat untuk memohon jawatan tersebut.
“Sekiranya Michael Carrick menyatakan keinginannya untuk meletakkan nama dalam senarai calon, beliau akan melalui proses pemilihan seperti calon lain,” ujar Neville.
Tumpuan utama Carrick ketika ini adalah mengekalkan momentum kemenangan United dalam usaha memburu Aston Villa yang kini menghuni tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.
United dijadualkan bertandang ke West Ham dalam perlawanan akan datang, diikuti aksi sukar menentang Everton sebelum kembali beraksi di Old Trafford awal bulan hadapan.
Dengan persaingan merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah masih terbuka serta kelab sedang merangka era pengurusan baharu, beberapa minggu akan datang dijangka menjadi tempoh kritikal buat Manchester United di dalam dan di luar padang.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back