London - Mohamed Salah dilaporkan ditawarkan peluang untuk menjadi wajah baharu Liga Pro Saudi musim panas ini, dengan gaji mencecah £1.2 juta (RM6.4 juta) seminggu.
Bintang Liverpool berusia 33 tahun itu boleh memperoleh hampir tiga kali ganda pendapatan semasanya sekiranya menerima tawaran tersebut, sekali gus menamatkan tempoh sembilan tahunnya di Anfield.
Pihak Saudi dikatakan mahu menjadikan Salah sebagai pengganti Cristiano Ronaldo, yang dilaporkan mempertimbangkan untuk meninggalkan Al-Nassr selepas tidak berpuas hati dengan pendekatan liga dalam urusan perpindahan pemain.
Ronaldo difahamkan berang susulan perpindahan Karim Benzema dari Al-Ittihad ke Al-Hilal, selain diberi peringatan bahawa tiada pemain dibenarkan mempengaruhi keputusan jawatankuasa perpindahan bebas liga.
Bekas bintang Manchester United dan Juventus itu juga dilaporkan mahu kembali ke Eropah untuk mengejar sasaran 1,000 gol sepanjang kariernya.
Salah sebelum ini pernah didekati oleh kelab Saudi musim panas lalu dan kekal sebagai sasaran utama, walaupun baru menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool selepas kejayaan menjuarai liga musim lalu.
Namun, perselisihan terbaharu dengan pengurus Liverpool, Arne Slot – termasuk tindakan menggugurkan Salah selepas kritikan terbuka – mencetuskan spekulasi bahawa penyerang Mesir itu mungkin mencari cabaran baharu.
Liverpool juga dikatakan terbuka untuk mengurangkan beban gaji tinggi Salah, selain berpeluang memperoleh yuran perpindahan besar jika minat dari Saudi semakin serius.
Kelab itu mahu sebarang urusan diselesaikan sebelum Salah menyertai Mesir di Piala Dunia.
Salah, yang bakal menyambut ulang tahun ke-34 pada Jun, telah tampil dalam lima perlawanan terakhir Liverpool, termasuk aksi menentang Manchester City awal pagi tadi, sejak kembali daripada tugasan bersama Mesir di Piala Negara-Negara Afrika.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back