London - Arsenal mara ke final Piala Liga buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun selepas menewaskan Chelsea 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Gol kemenangan dijaringkan oleh Kai Havertz, yang masuk sebagai pemain gantian, sekali gus mengesahkan kemenangan agregat 4-2 buat skuad kendalian Mikel Arteta selepas menang 3-2 pada perlawanan pertama.
Kejayaan ini cukup melegakan buat The Gunners yang sebelum ini tewas dalam empat separuh akhir berturut-turut dalam pelbagai kejohanan. Arsenal kini bakal beraksi di Wembley pada 22 Mac menentang Manchester City atau Newcastle United, dengan City memiliki kelebihan agregat 2-0 menjelang aksi timbal balik.
Arsenal kali terakhir menjulang Piala Liga pada 1993 dan belum memenangi sebarang trofi sejak Piala FA 2020 juga satu-satunya trofi di bawah kendalian Arteta setakat ini.
“Perlawanan ini sangat penting buat kami. Ketabahan dan kefahaman pemain untuk melaksanakan permainan yang diperlukan sangat luar biasa. Suasana di stadium memberi impak besar dan kami telah menunggu lama untuk detik ini,” kata Arteta.
Musim ini dilihat sebagai antara yang terbaik buat Arsenal apabila mereka kini mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan enam mata serta layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan.
Walaupun dikritik kerana terlalu bergantung kepada situasi bola mati, Arteta mempertahankan pasukannya dan menegaskan Arsenal kekal sebagai antara pasukan paling menghiburkan di Eropah.
Chelsea pula gagal menamatkan rekod buruk menentang Arsenal, apabila tewas dua kali di bawah kendalian ketua jurulatih baharu mereka, Liam Rosenior.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back