RIYADH – Cristiano Ronaldo dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah mengejut untuk meninggalkan Al-Nassr pada musim panas ini, namun mana-mana kelab yang berminat perlu membayar yuran perpindahan yang tinggi.
Penyerang berusia 41 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati dengan pengurusan kelab dan kini sedang memboikot pasukan. Ronaldo juga dilaporkan marah dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) kepada kelab pesaing dalam Liga Pro Saudi.
Al-Nassr hanya membawa masuk seorang pemain baharu dalam jendela perpindahan Januari lalu, iaitu Haydeer Abdulkareem, 21, walaupun jurulatih Jorge Jesus dilaporkan mahukan lebih ramai pemain. Situasi itu dipercayai mendorong Ronaldo enggan beraksi dalam perlawanan menentang Al-Riyadh baru-baru ini.
Media Portugal, Record, melaporkan Ronaldo mempunyai klausa pelepasan bernilai £43 juta (RM231 juta) dalam kontraknya yang ditandatangani musim panas lalu. Namun, belum pasti kelab mana yang sanggup mengaktifkan klausa tersebut, memandangkan gajinya yang tinggi.
Ronaldo kini merupakan pemain dengan gaji tertinggi di dunia, memperoleh sekitar £488,000 (RM2.63 juta) sehari. Setakat musim ini, beliau telah menjaringkan 18 gol dalam 22 penampilan dan sebelum ini memberi bayangan kemungkinan kembali ke Eropah.
“Saya masih bersemangat dan mahu terus bermain, tidak kira di Timur Tengah atau Eropah. Saya pasti boleh capai 1,000 gol jika tidak cedera,” katanya.
Ronaldo kini telah mengumpul 960 gol sepanjang kariernya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back