MANCHESTER - Michael Carrick menyifatkan jaringan kemenangan dramatik Manchester United ke atas Fulham sebagai “perasaan paling terbaik” selepas Benjamin Sesko muncul wira dalam kemenangan 3-2 di Old Trafford.
United terlebih dahulu mendahului menerusi tandukan Casemiro sebelum Matheus Cunha menambah kelebihan selepas rehat, meletakkan tuan rumah dalam posisi selesa. Namun, perlawanan bertukar tegang apabila Raul Jimenez menyempurnakan sepakan penalti lima minit sebelum tamat, diikuti gol penyamaan sensasi oleh Kevin pada masa kecederaan.
Ketika kelihatan dua mata hampir terlepas, Sesko yang sebelum ini dikritik, bangkit menjaringkan gol kemenangan, gol keempatnya dalam empat perlawanan terakhir, sekali gus menghadiahkan kemenangan ketiga berturut-turut buat Carrick.
Selepas menewaskan Manchester City dan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, kejayaan penuh drama ini menguatkan tanggapan bahawa Carrick memiliki sentuhan emas sebagai pengendali. United kini tidak tewas dalam tujuh perlawanan liga dan melonjak ke tangga keempat, mengukuhkan misi mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
“Ia adalah antara momen terbaik yang pernah saya alami di sini. Tiada tempat lebih bermakna selain di hadapan Stretford End,” kata Carrick. “Orang ramai pulang bukan sekadar dengan kemenangan, tetapi dengan emosi dan perasaan, itulah yang menjadikan bola sepak istimewa.”
Carrick turut mengakui masih banyak ruang untuk diperbaiki walaupun pasukan menunjukkan perkembangan positif.
“Cara kami bangkit selepas menerima tamparan pada minit ke-90 menunjukkan karakter pemain. Kami boleh bermain lebih baik, dan itu yang paling menggembirakan. Saya tidak boleh mempertikaikan kepercayaan mereka,” tambahnya.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back