LONDON – Michael Carrick menggesa Manchester United meneruskan momentum positif selepas permulaan cemerlangnya sebagai pengurus sementara, susulan kemenangan mengejut 3-2 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, hasil jaringan penting Matheus Cunha.
Carrick dilantik sehingga akhir musim selepas pemecatan Ruben Amorim pada 5 Januari, dan segera memberi impak besar di Old Trafford. Bekas pemain tengah United itu kembali ke kelab hanya beberapa bulan selepas meninggalkan Middlesbrough, dan kini dilihat sebagai calon berpotensi untuk jawatan tetap.
Di bawah kendaliannya, United mempamerkan prestasi lebih bertenaga, termasuk kemenangan 2-0 ke atas Manchester City dalam perlawanan pertamanya sebelum mengejutkan Arsenal di London utara. Keputusan itu melonjakkan United ke tangga keempat liga.
Carrick memuji sikap positif pemainnya terhadap pendekatan taktikal baharu yang diperkenalkannya.
“Pemain sangat terbuka untuk menerima dan melaksanakan apa yang diminta. Saya percaya kepada mereka dan mereka membalas kepercayaan itu,” katanya. “Ia bukan sekadar kata-kata, tetapi keyakinan sebenar di atas padang.”
Pengurus berusia 44 tahun itu turut mengetepikan sistem tiga pertahanan kegemaran Amorim, langkah yang memberikan keseimbangan lebih baik kepada pasukan. Keputusan memberi Patrick Dorgu peranan lebih menyerang juga terbukti berkesan, dengan pemain itu menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan menentang City dan Arsenal.
“Kami tahu bila perlu bertahan dan bila mahu menguasai permainan. Gol-gol kami berkualiti dan persembahan keseluruhan sangat lengkap,” tambah Carrick.
Dengan kurang dua minggu di jawatan itu, Carrick menegaskan fokusnya adalah untuk terus memperbaiki pasukan dan menamatkan musim sebaik mungkin.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back