TAIPEI - Pendaki terkenal dari Amerika Syarikat, Alex Honnold, mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama memanjat menara Taipei 101 tanpa menggunakan tali atau peralatan keselamatan.
Aksi berani itu disaksikan ratusan orang yang berkumpul di kaki bangunan setinggi 508 meter tersebut dan turut disiarkan secara langsung di Netflix.
Dalam sidang media, Honnold berkata masa adalah terhad dan harus dimanfaatkan sebaik mungkin. “Jika anda bekerja keras, anda boleh lakukan perkara sukar,” katanya.
Honnold dikenali dengan pendakian ekstrem, termasuk memanjat El Capitan di Taman Negara Yosemite, California, setinggi 915 meter tanpa peralatan keselamatan, satu pencapaian yang dianggap hampir mustahil oleh rakan pendaki.
Pendakian ke atas Taipei 101 merupakan impiannya sejak lama, walaupun permohonan awalnya pernah ditolak. Beliau bukan individu pertama mencapai puncak bangunan ikonik itu; pada 2004, Alain Robert atau ‘Spiderman Perancis’ pernah memanjatnya menggunakan tali keselamatan kerana cuaca hujan.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te, memuji Honnold dalam satu hantaran Facebook, menyifatkan cabaran tersebut sebagai “amat menyentuh” dan mendebarkan.
Acara bertajuk Skyscraper Live sepatutnya disiarkan di Netflix pada Sabtu, namun ditangguhkan akibat cuaca buruk. Honnold memulakan pendakian di sisi tenggara bangunan kaca dan besi itu sebaik cuaca pulih, dan berjaya menamatkannya dalam kira-kira 30 minit sambil mengenakan baju-T merah dan kasut mendaki kuning khas.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back