WASHINGTON, 23 Jan (Bernama-Anadolu) - "The Voice of Hind Rajab", sebuah filem yang diilhamkan daripada detik-detik terakhir seorang kanak-kanak perempuan Palestin berusia lima tahun yang terkorban dalam serangan Israel di Gaza, telah dicalonkan untuk Anugerah Akademi bagi kategori Filem Cetera Antarabangsa Terbaik, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Diarahkan oleh pembikin filem Tunisia, Kaouther Ben Hania, filem itu berdasarkan kisah benar Hind Rajab yang terperangkap di dalam kereta keluarganya pada 29 Jan 2024 selepas kenderaan itu ditembak tentera Israel di Bandaraya Gaza. Beliau ditemukan mati selepas hampir dua minggu nasibnya tidak diketahui.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Hind sedang dalam perjalanan bersama keluarganya, termasuk sepupu berusia 15 tahun, Layan Hamadeh, untuk melarikan diri daripada pertempuran di utara Gaza apabila mereka dihujani tembakan Israel.
Filem itu memberikan tumpuan kepada rakaman audio sebenar panggilan telefon terakhir Hind kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang merayu bantuan.
Rakaman berkenaan yang tular di media sosial selepas kematiannya, mencetuskan kemarahan antarabangsa dan gesaan menuntut keadilan. Dua paramedik yang cuba menyelamatkannya turut terkorban apabila ambulans mereka dibom.
Tentera Israel menafikan bertanggungjawab atas kematian itu. Bagaimanapun, siasatan oleh kumpulan penyelidik Forensic Architecture yang berpangkalan di London kemudian merumuskan bahawa beratus-ratus peluru mengenai kereta dinaiki Hind Rajab dan sebuah kereta kebal Israel berada pada jarak dekat dengan kenderaan terlibat.
Filem berkenaan ditayangkan buat kali pertama pada September 2025 di Festival Filem Antarabangsa Venice dan menarik perhatian meluas masyarakat antarabangsa.
Sumber: BERNAMA-ANADOLU
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back