KUALA LUMPUR: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, meneruskan momentum cemerlang apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Masters Indonesia, hari ini.
Juara dunia itu tidak menghadapi kesukaran untuk menyingkirkan gandingan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul–Sapsiree Taerattanachai, 21-12, 21-18 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung selama 35 minit di Istora Senayan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Tang Jie–Ee Wei mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas pasangan berkenaan selepas turut mencatat kejayaan pada pertemuan pertama di Terbuka Australia tahun lalu.
Di peringkat suku akhir, mereka dijadualkan menentang pemenang pertemuan antara pasangan Singapura-Indonesia, Terry Hee–Gloria Emanuelle Widjaja, atau gandingan Denmark, Jesper Toft–Amalie Magelund.
Pada Terbuka Malaysia awal bulan ini, Tang Jie–Ee Wei mara sehingga suku akhir sebelum tewas kepada gandingan Hong Kong, Tang Chun Man–Tse Ying Suet, 17-21, 21-17, 10-21. Sementara itu, dalam saingan Terbuka India, mereka tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan China, Cheng Xing–Zhang Chi, 16-21, 19-21.
Dalam perkembangan lain, beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub–Tan Wee Kiong, terkandas selepas tewas kepada pilihan kelima kejohanan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani. Walaupun bermula positif dengan memenangi set pertama 21-19, mereka gagal mengekalkan rentak sebelum tewas 16-21, 17-21.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back