Legenda bola sepak England, David Beckham akhirnya memberi respons mengenai konflik keluarga yang melibatkan anak sulungnya, Brooklyn Beckham, dan menantu, Nicola Peltz.
Dalam penampilan terbaharunya sebagai panel jemputan di CNBC, David, 51, berkata anak-anak perlu diberi ruang untuk melakukan kesilapan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran hidup.
“Saya selalu bercakap tentang kuasa media sosial yang boleh membawa kesan baik dan buruk. Terutama apabila melibatkan anak-anak, gunakannya untuk perkara yang berfaedah. Mereka akan melakukan kesilapan, dan itu adalah cara mereka belajar,” katanya.
Isu keluarga Beckham menjadi perhatian global selepas Brooklyn memuat naik beberapa kenyataan panjang di Instagram, mendedahkan konflik serius dengan ibu bapanya. Brooklyn, 27, mendakwa dia memutuskan hubungan dengan keluarganya demi mempertahankan isterinya, Nicola, 31, yang juga seorang pelakon dan model.
Dalam luahan tersebut, Brooklyn menuduh ibunya, Victoria Beckham, merosakkan majlis perkahwinannya dengan membatalkan rekaan gaun pengantin Nicola pada saat akhir dan bertindak tidak sesuai semasa tarian pertama mereka sebagai pasangan suami isteri.
“Ibu saya membatalkan penyediaan gaun perkahwinan Nicola walaupun dia sangat teruja mengenakannya, memaksa Nicola mencari gaun baharu dalam keadaan tergesa-gesa,” tulis Brooklyn.
Sebuah video yang tular turut memaparkan Victoria dilihat enggan bergambar bersama Brooklyn dan Nicola dalam satu sidang media, dengan bahasa tubuh yang tidak selesa sehingga menyebabkan Nicola kelihatan sebak.
Media antarabangsa melaporkan hubungan Brooklyn dengan ibu bapanya kini semakin tegang, malah melibatkan tindakan undang-undang. Brooklyn dikatakan telah menghantar surat daripada peguam kepada David dan Victoria, walaupun pasangan itu masih berharap hubungan keluarga dapat dipulihkan.
Brooklyn dan Nicola kini menetap di Amerika Syarikat sejak berkahwin pada 2022 dan dilaporkan semakin rapat dengan keluarga Peltz, termasuk bapa Nicola, pelabur bilionair Nelson Peltz, yang memberi sokongan dalam bidang perniagaan.
Hubungan antara keluarga Beckham dan Peltz dilaporkan sudah dingin sejak awal, dipercayai berpunca daripada perbezaan latar belakang sosial dan budaya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back