KUALA LUMPUR - Pelakon dan penerbit terkenal, Bront Palarae, kini rasmi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu Kumpulan MyCreative Ventures.
Menerusi kenyataan di Instagram, MyCreative Ventures menyifatkan pelantikan Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Somuek @Saifuddin sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kepimpinan organisasi, khususnya dalam memperkasakan ekosistem industri kreatif negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dengan pengalaman luas dalam lakonan, penerbitan serta pemahaman mendalam terhadap seni dan budaya, Bront dijangka membawa perspektif segar dan bernilai kepada hala tuju strategik syarikat.
Menurut MyCreative Ventures, pelantikan ini selari dengan aspirasi memperkasa industri kreatif tempatan, memperkukuh tadbir urus, memacu nilai budaya dan ekonomi serta meluaskan impak industri kreatif Malaysia secara mampan.
Bront dikenali sebagai figura prolifik dalam dunia seni, bukan sahaja sebagai pelakon, malah penerbit dan penggerak kandungan kreatif berkualiti tinggi yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Pelantikan ini mencerminkan komitmen MyCreative Ventures untuk terus menyokong bakat tempatan dan mengangkat Malaysia sebagai hab kreatif yang disegani di peringkat global.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back