ALBACETE, Sepanyol - Pasukan divisyen kedua, Albacete, mencipta kejutan besar apabila menyingkirkan gergasi Sepanyol Real Madrid 3-2 dalam aksi pusingan 16 terakhir Copa del Rey di Stadium Carlos Belmonte, awal pagi tadi.
Penyerang Jefte Betancor muncul wira tuan rumah dengan dua gol, termasuk jaringan kemenangan lewat perlawanan, sekali gus mencemarkan penampilan sulung Alvaro Arbeloa sebagai pengurus baharu Real Madrid.
Dalam suasana berkabus tebal dan sorakan kira-kira 17,000 penyokong, Albacete mempamerkan aksi berani untuk menewaskan juara Eropah itu, yang baru memecat Xabi Alonso minggu lalu. Arbeloa, bekas pemain pertahanan Real, memilih untuk menurunkan pasukan kedua dan bergelut memecah pertahanan disiplin tuan rumah.
Beberapa bintang utama Real seperti Kylian Mbappe, Jude Bellingham, Rodrygo, Thibaut Courtois dan Aurelien Tchouameni direhatkan, manakala Vinicius Jr menjadi sandaran utama serangan. Dua pemain muda dari pasukan simpanan Castilla, David Jimenez dan Jorge Cestero, turut diberi peluang beraksi.
Perlawanan turut dicemari insiden di luar stadium apabila Vinicius menjadi sasaran ejekan berbaur perkauman. Di atas padang, beliau dikawal rapi dan gagal memberi impak besar di sayap kiri.
Albacete membuka jaringan pada minit ke-42 apabila sepakan penjuru Jose Lazo disambut tandukan Javier Villar untuk menewaskan penjaga gol Real, Andriy Lunin. Namun, Real menyamakan kedudukan sebelum rehat apabila Franco Mastantuono pantas menyudahkan bola muntah hasil tandukan Dean Huijsen yang ditepis Raul Lizoain.
Tuan rumah kembali di depan pada minit ke-82. Percubaan Agus Medina dari luar kotak ditepis Lunin, tetapi kegagalan pertahanan Real mengeluarkan bola daripada situasi sepakan penjuru membolehkan Betancor menanduk masuk gol kedua Albacete.
Real tampak menyelamatkan maruah apabila Gonzalo menanduk masuk gol penyamaan 2-2 pada masa kecederaan hasil hantaran Arda Guler. Namun ketika pasukan pelawat ghairah memburu gol kemenangan, ruang di benteng pertahanan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Betancor untuk meledak gol ketiga Albacete.
Kapten Real Madrid, Dani Carvajal, tidak berselindung daripada kekecewaan selepas perlawanan.
“Kami berada di tahap paling rendah; kami tewas kepada pasukan divisyen kedua,” katanya.
“Apabila kalah, kami perlu menghadapinya. Kami sebagai pemain bertanggungjawab sepenuhnya.”
Kemenangan ini menjadi antara kejayaan terbesar Albacete dalam sejarah Copa del Rey, manakala Real Madrid tersingkir awal dalam satu lagi episod mengejutkan kejohanan itu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back