LIVERPOOL - Dominik Szoboszlai menjadi watak utama dalam kemenangan 4-1 Liverpool ke atas Barnsley pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Anfield, awal pagi tadi, dalam perlawanan yang menyaksikan kecemerlangan dan kesilapan mudah pemain tengah itu.
Szoboszlai membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi rembatan jarak jauh yang memukau, namun Liverpool hampir dikejutkan lebih awal apabila tandukan Davis Keillor-Dunn seawal 30 saat permainan hanya singgah di tiang gol.
Kelebihan tuan rumah digandakan pada minit ke-36 apabila bek kanan Jeremie Frimpong, yang membuat penampilan sulung dalam saingan Piala FA, meledak gol kedua hasil rembatan kaki kiri yang padu.
Namun, suasana berubah empat minit kemudian apabila Szoboszlai melakukan kesilapan besar. Percubaannya membuat sepakan tumit ke belakang ke arah penjaga gol Giorgi Mamardashvili gagal, menghadiahkan bola kepada Adam Phillips graduan akademi Liverpool yang mudah merapatkan jurang buat Barnsley di hadapan Kop End.
Liverpool akhirnya mengesahkan kemenangan pada lewat perlawanan. Pemain gantian Florian Wirtz menebus kesilapan terdahulu dengan jaringan cantik hasil rembatan lencong ke penjuru atas gawang pada minit ke-84 untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Seorang lagi pemain gantian, Hugo Ekitike, melengkapkan kemenangan The Reds dengan gol keempat pada minit keempat masa kecederaan selepas menerima hantaran Wirtz.
Pengurus Liverpool, Arne Slot, jelas mengambil serius kempen Piala FA apabila menurunkan kesebelasan yang lebih kuat daripada jangkaan, dengan enam pertukaran dibuat daripada pasukan yang terikat tanpa jaringan menentang Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris minggu lalu.
Barnsley, meskipun berstatus pasukan divisyen ketiga, memberikan tentangan sengit dan berang apabila tidak diberikan sepakan penalti pada minit ke-61 selepas Reyes Cleary dijatuhkan. VAR hanya digunakan bermula pusingan kelima kejohanan.
Pengurus Barnsley, Conor Hourihane, dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan itu dan turut mengkritik tindakan Szoboszlai, menyifatkannya sebagai “tidak menghormati” permainan.
Slot bagaimanapun mempertahankan pemainnya sambil mengakui kesilapan tersebut.
“Ia pilihan yang pelik dan saya ada pandangan sendiri mengenainya, tetapi lebih baik dibincangkan secara tertutup dengan Dom,” katanya.
Szoboszlai turut tampil memohon maaf kepada rakan sepasukan.
“Saya menyukarkan pasukan dengan kesilapan mudah itu. Dalam bola sepak, perkara seperti ini boleh berlaku. Yang penting, kami mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Liverpool dijadualkan bertemu Brighton & Hove Albion di Anfield dalam aksi pusingan keempat Piala FA.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back