LONDON, 5 Jan (Bernama-PA Media/dpa) - Ruben Amorim telah dipecat daripada jawatan ketua jurulatih Manchester United, lapor PA Media/dpa.
Manchester United dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin memaklumkan bahawa pengendali kelahiran Portugal yang mengambil alih pasukan pada November 2024 telah meninggalkan peranannya, dengan kepimpinan kelab “secara berat hati membuat keputusan bahawa sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan”.
Kelab itu menambah dalam kenyataan berkenaan: “Ini akan memberikan pasukan peluang terbaik untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris pada kedudukan tertinggi yang mungkin.”
United kini berada di kedudukan keenam liga selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Leeds pada Ahad.
Selepas perlawanan itu, Amorim yang berang menegaskan bahawa beliau merupakan pengurus Manchester United dan bukan sekadar jurulatih, dalam satu sidang media yang mencuri tumpuan apabila beliau memberitahu jabatan pencari bakat serta pengarah sukan supaya “melaksanakan tugas mereka”.
Jurulatih berusia 40 tahun itu sebelum ini membayangkan wujudnya kekecewaan di sebalik tabir menjelang perlawanan berkenaan apabila beliau enggan menjelaskan kenyataannya baru-baru ini mengenai pelan perpindahan kelab.
Sumber: BERNAMA-PA Media/dpa
Back
WHAT’S HOT
06 January 2026 | 11:26 AM