RIYADH: Cristiano Ronaldo mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan kembali beraksi di Eropah ketika meneruskan pemburuan sasaran 1,000 gol sepanjang karier profesionalnya.
Bintang Portugal berusia 40 tahun itu kini mengumpul 956 gol selepas menjaringkan dua gol bersama Al-Nassr hujung minggu lalu. Bagaimanapun, masa depannya terus menjadi tanda tanya selepas Ronaldo mengesahkan Piala Dunia tahun depan bakal menjadi penampilan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan Portugal.
Kontrak lumayan bernilai £492 juta (RM2.69 bilion) bersama kelab Arab Saudi itu dijadual berakhir setahun selepas kejohanan berprestij tersebut. Namun, Ronaldo menegaskan dia masih belum bersedia untuk menggantung but dan berazam meneruskan karier demi mencapai sasaran peribadi yang diimpikannya.
“Tidak kira di mana pun saya bermain,” kata Ronaldo, memberi bayangan pintu perpindahan masih terbuka.
Sepanjang kariernya, Ronaldo mencipta pelbagai kejayaan di Eropah, termasuk dua kali bersama Manchester United serta tempoh sembilan tahun yang penuh gemilang di Real Madrid. Sebarang kepulangan ke benua itu dijangka mengejutkan ramai pihak, memandangkan usianya serta musim keempatnya beraksi di luar Eropah bersama Al-Nassr.
Di Arab Saudi, pengaruh Ronaldo terus diiktiraf apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Timur Tengah pada Anugerah Bolasepak Global di Dubai hujung minggu lalu. Pada majlis tersebut, dia sekali lagi mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berpindah kelab dalam masa terdekat.
“Semangat saya masih tinggi dan saya mahu terus bermain. Tidak kira di mana sekalipun, sama ada di Timur Tengah atau Eropah. Saya sentiasa menikmati bola sepak dan mahu terus beraksi. Saya yakin boleh mencapai jumlah 1,000 gol jika tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back