BANGKOK: Kontinjen Malaysia kini hanya lapan pingat lagi untuk mencapai sasaran keseluruhan 200 pingat pada Sukan SEA Thailand 2025, dengan baki tiga hari sebelum temasya dwitahunan itu berakhir.
Setakat ini, Malaysia telah mengumpul 192 pingat merangkumi 41 emas, 45 perak dan 106 gangsa, sekali gus menunjukkan momentum positif untuk menepati sasaran yang ditetapkan.
Harapan pingat dijangka terus hadir menerusi beberapa acara final, termasuk memanah compound individu lelaki membabitkan Mohd Juwaidi Mazuki, yang turut akan beraksi dalam acara compound berpasukan lelaki. Acara terjun, menembak dan berbasikal trek juga berpotensi menyumbang emas penting buat negara.
Dalam arena bola sepak, tumpuan terarah kepada perlawanan penentuan pingat gangsa apabila skuad Harimau Muda bakal menentang Filipina di Stadium Nasional Rajamangala. Kali terakhir skuad B-23 negara menaiki podium adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, ketika meraih pingat perak.
Deretan Emas Kukuhkan Kedudukan Malaysia
Kem Malaysia meneruskan prestasi cemerlang hari ini apabila beberapa sukan utama menyumbang pingat emas, antaranya pencak silat, Muay Thai, skuasy, kriket, menembak, bola jaring dan e-sukan.
Pencak silat menyumbang dua emas menerusi Ummi Mashitah Hassan (Kelas C wanita) dan Muhammad Izzul Irfan (Kelas D lelaki). Dalam Muay Thai, Angie Yan Jia Chi menghadiahkan emas acara Waikru wanita selepas menewaskan juara dunia Thailand, Thanawan Thongduang, manakala Wassof Rumijam (54kg lelaki) dan Mohd Mikail Ghazali Zulfikar (bawah 57kg lelaki) turut menewaskan lawan tuan rumah untuk emas masing-masing.
Skuad kriket lelaki negara mengesahkan emas acara T10 selepas menewaskan Indonesia, sementara arena skuasy menyaksikan Harith Danial Jefri terus menyerlah dengan memenangi emas beregu campuran jumbo bersama Sehveetraa Kumar dan emas beregu lelaki jumbo bergandingan dengan Low Wa Sern.
Dalam e-sukan, pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara merangkul emas selepas menewaskan Filipina 4-3 dalam perlawanan akhir yang mendebarkan. Kejayaan hari ini dilengkapkan dengan emas Gan Chen Jie dalam acara menembak 50 meter tiga posisi wanita serta skuad bola jaring wanita yang menewaskan Singapura 52-49 pada aksi final.
Carta Pingat Terkini
Setakat jam 10 malam waktu tempatan Rabu, Thailand terus mendominasi carta pingat dengan 185 emas, 120 perak dan 79 gangsa. Indonesia berada di tempat kedua, diikuti Vietnam di tangga ketiga dan Singapura keempat.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back