BANGKOK, 17 Dis - Atlet muay thai negara, Mohd Mikail Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Miki Ghazali, mencipta detik membanggakan apabila melangkah ke final acara muay thai 57 kilogram (kg) lelaki di Sukan SEA 2025, hari ini.
Miki mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas menewaskan wakil Laos, Seuaphom Thongbang, dengan keputusan tipis 2-1 pada aksi separuh akhir. Kemenangan itu menyaksikan beliau bakal beraksi di final esok di Stadium Tinju Lumpinee.
Peluang untuk meraih pingat emas kini terbuka luas buat Miki, namun cabaran getir menanti apabila beliau dijadualkan bertemu atlet tuan rumah Thailand, Sirilun Suphakon. Pertemuan tersebut dijangka menyajikan aksi sengit dengan sokongan padu penonton tempatan.
Dalam perkembangan sama, dua lagi wakil Malaysia turut berjaya menempah slot ke final. Insyad Rumijam (51kg lelaki) dan Nur Amisha (51kg wanita) masing-masing mencatat kemenangan 2-1 ke atas lawan dari Myanmar, Htang Khui Shing, dan Filipina, Montero Floryvic.
Sementara itu, dalam acara 45kg wanita, Damia Husna Azlan meraih pingat gangsa selepas tewas 0-3 kepada wakil Thailand, Noon-Eiad Arissara. Walaupun gagal mara ke final, aksi bertenaga Damia tetap mendapat pujian.
Dengan beberapa wakil negara mara ke perlawanan akhir, kem muay thai Malaysia kini bersedia menghadapi cabaran penentuan kelak dengan sasaran membawa pulang pingat emas untuk negara.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back