BANGKOK, 12 Dis - Jaguh lontar tukul besi negara, Grace Wong Xiu Mei, sekali lagi menegaskan dominasinya di pentas Asia Tenggara apabila meraih pingat emas di Sukan SEA 2025 dengan lontaran luar biasa sejauh 65.41 meter.
Kejayaan atlet kelahiran Sarawak itu bukan sekadar memastikan kedudukan teratas, malah turut mencipta sejarah baharu. Catatan 65.41 meter itu memecahkan rekod Sukan SEA, rekod kebangsaan, serta menjadi rekod peribadi terbaik (PB) buat Grace menjadikannya salah satu persembahan paling mengagumkan dalam sejarah acara tersebut di rantau ini.
Bertarung di Stadium Olahraga Bangkok, Grace menewaskan enam peserta lain dengan jarak yang ketara, sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara atlet elit paling konsisten di Malaysia.
Dua wakil Thailand melengkapkan podium, dengan Koomphon Mingkamon meraih perak menerusi lontaran 60.74 meter, manakala Kaewasukri Sawitree membawa pulang gangsa dengan catatan 57.27 meter.
Malaysia turut diwakili Nurul Hidayah Lukman, yang menamatkan saingan di tempat kelima selepas melakukan lontaran sejauh 52.21 meter.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back