BANGKOK – Tumpuan kini terarah kepada pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, apabila acara olahraga Sukan SEA Thailand membuka tirai hari ini.
Walaupun ini merupakan penampilan sulung atlet berusia 18 tahun itu, juara 100 meter Sukan Malaysia (Sukma) 2024 tersebut menjadi sandaran utama untuk mencipta kejutan dalam acara riben biru 100 meter di Stadium Supachalasai.
Danish yang memiliki rekod peribadi terbaik 10.26 saat bakal berdepan cabaran getir apabila turun menentang raja pecut Thailand, Puripol Boonson, serta bintang Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.
Ketua jurulatih negara, Mohd. Manshahar Abdul Jalil, menasihati peminat dan pemerhati sukan agar bersikap realistik terhadap peluang atlet muda itu, sambil menekankan bahawa penilaian prestasi harus berlandaskan data dan statistik sebenar.
“Orang ramai boleh meletakkan jangkaan berdasarkan pencapaian yang diraih, namun kami melihat situasi secara menyeluruh. Bukan sekadar jangkaan, tetapi berpandukan data, fakta dan statistik.
“Pelbagai andaian boleh dibuat, namun data yang tepat perlu dikaji semula. Ini perkara biasa bagi atlet dan jurulatih. Biarlah atlet muda ini bertanding dahulu,” katanya.
Menurut Manshahar, pengalaman bersaing di peringkat tinggi amat penting dalam membentuk keyakinan serta hala tuju atlet muda bagi masa depan yang lebih cerah.
“Atlet muda mungkin kurang pengalaman, namun saya sentiasa menasihatkan mereka supaya bertanding dengan tenang. Walaupun berdepan pelbagai tekanan, jadikan ia langkah permulaan.
“Tidak mustahil atlet yang membuat penampilan pertama mampu meraih pingat. Tekanan dirasai semua, termasuk atlet senior yang pernah menang beberapa kali disebabkan harapan tinggi,” katanya.
Pada masa sama, tumpuan turut diberikan kepada pembawa Jalur Gemilang, Andre Anura Anuar (lompat jauh dan lompat kijang), Umar Osman (400m), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Grace Wong (baling tukul besi wanita), yang kesemuanya merupakan pemenang pingat emas di Kemboja dua tahun lalu.
Turut memburu kejayaan ialah beberapa atlet berpengalaman, termasuk Jackie Wong (baling tukul besi), Queenie Ting (lempar cakera) dan Nor Sarah Adi (lompat bergalah), yang berusaha untuk memperbaiki pencapaian pingat perak pada edisi 2023 kepada emas pada kali ini.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back