KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) - Jumlah mangsa banjir di Sarawak dan Perak yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun pagi ini, berbanding semalam.
Di SARAWAK, sebanyak 140 orang terdiri daripada 136 mangsa banjir dan empat tanah runtuh ditempatkan di tiga PPS di Miri setakat 8 pagi ini, berbanding 152 orang direkodkan semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan 109 mangsa banjir berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Suai Niah manakala 23 lagi di SK Kampung Angus.
Selain itu, masing-masing empat mangsa banjir dan tanah runtuh ditempatkan di PPS Dewan Bulan Sabit Merah.
Di PERAK, sebanyak 83 orang masih berada di dua PPS di daerah Hilir Perak pagi ini, berbanding 111 orang semalam.
Sekretariat JPBN Perak memaklumkan PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak menempatkan 52 mangsa manakala 31 mangsa di PPS Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut di kesemua daerah di Perak petang ini kecuali Kerian, Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datu.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back