TEL AVIV, 9 Dis (Bernama-dpa) - Wartawan antarabangsa masih dihalang daripada memasuki Semenanjung Gaza secara bebas bagi menilai keadaan di wilayah itu meskipun gencatan senjata sedang berkuat kuasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mahkamah Agung di Baitulmuqaddis mengadakan satu lagi pendengaran pada Selasa berhubung petisyen oleh Persatuan Akhbar Asing (FPA) yang menuntut akses bagi wartawan ke wilayah pantai yang masih ditutup itu.
Mahkamah sekali lagi memberikan penangguhan kepada rejim Israel sebelum perlu mengemukakan hujahan.
Menurut FPA, ini merupakan penangguhan kesembilan sejak petisyen itu difailkan pada September tahun lepas. Israel diberi sehingga 21 Dis untuk mengemukakan pendiriannya secara bertulis.
Dalam satu kenyataan, FPA menyifatkan keadaan itu sebagai “melampaui batas tidak munasabah”.
“Kami kecewa kerana kerajaan terus menangguhkan, dan amat dukacita kerana mahkamah masih membenarkan perkara ini berlarutan,” menurut kenyataan itu.
“Penangguhan berulang ini telah menafikan dunia daripada mengetahui gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan di Gaza, sekali gus memperlekeh seluruh proses perundangan,” kata FPA. Bagaimanapun, persatuan itu menegaskan bahawa mereka akan terus memperjuangkan hak khalayak global untuk mendapatkan maklumat.
Akses ke Semenanjung Gaza dikawal sepenuhnya oleh Israel. Sejak serangan Israel di Semenanjung Gaza bermula lebih dua tahun lepas, wartawan asing hanya dapat memasuki wilayah itu pada beberapa kesempatan tertentu bersama tentera Israel, dan hanya dibenarkan melihat kawasan yang terhad.
Satu gencatan senjata rapuh telah berkuat kuasa sejak 10 Okt.
Pada Ogos lepas, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyeru Israel supaya membenarkan wartawan memasuki Semenanjung Gaza.
Sumber: BERNAMA-dpa
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back