MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menerima perkhabaran positif menjelang pertemuan dengan West Ham United awal pagi esok apabila salah seorang tonggak utamanya disahkan kembali cergas.
Selepas kecewa tewas 0-1 kepada Everton, United kembali bangkit dengan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace di Selhurst Park pada Ahad lalu, keputusan yang memberi suntikan moral penting kepada skuad Amorim.
Namun kemenangan itu turut menyaksikan kehilangan Matheus Cunha yang mengalami masalah kecederaan ringan. Kini, bintang antarabangsa Brazil itu dilaporkan sudah kembali menjalani latihan penuh.
Cunha sendiri mengesahkan perkara tersebut melalui hantaran di Instagram, memuat naik gambar dirinya berlatih bersama rakan sepasukan selepas diketepikan dalam dua perlawanan terdahulu.
Kepulangan Cunha berpotensi mencetuskan perubahan dalam perancangan Amorim, yang sebelum ini memilih Joshua Zirkzee sebagai penyerang utama untuk dua aksi terakhir. Walaupun Zirkzee mencetak satu gol ketika menewaskan Palace, Amorim dijangka memberikan keutamaan kepada Cunha sekiranya pemain itu benar-benar bersedia untuk aksi menentang West Ham.
Dalam perkembangan lain, Lisandro Martínez turut berpeluang kembali dalam kesebelasan utama selepas membuat penampilan pertamanya pada Ahad lalu, menamatkan tempoh hampir 10 bulan tersisih akibat kecederaan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back