KUCHING - Kerajaan Sarawak akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada seluruh penjawat awam negeri, berdasarkan gaji pokok terakhir pada November 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemberian tersebut mengambil kira pelaksanaan kenaikan gaji fasa kedua di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak tujuh peratus yang berkuat kuasa 1 Januari 2026.
“Pembayaran BKK ini akan dibuat pada bulan ini dan dijangka melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM131 juta. Manakala kenaikan gaji SSPA pula akan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM56 juta,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan BKK secara bayaran sekali sahaja (one-off) sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak sepanjang tahun 2025. Bayaran tersebut akan dibuat pada suku pertama tahun hadapan dengan implikasi kewangan sebanyak RM98 juta.
“Pentadbiran saya berharap insentif ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus memperkasa mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya.
Abang Johari turut menyatakan bahawa bagi menghargai jasa dan sumbangan pesara perkhidmatan awam negeri, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju memberikan bantuan kewangan sebanyak RM500 secara one-off dengan jumlah peruntukan RM50 juta.
Dalam pada itu, kerajaan juga akan memberikan insentif RM700 secara one-off kepada pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak sehingga 1 Disember 2025 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka.
“Sumbangan dan peranan penting pengamal media dalam menyampaikan maklumat secara profesional telah memberi impak besar kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak,” katanya.
Sumber: Suara Sarawak
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back