KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat cuaca susulan pengesanan satu lekukan tropika pada jam 11.00 pagi tadi di latitud 4.0° utara dan longitud 104.0° timur.
Lekukan tropika ialah istilah meteorologi yang merujuk kepada peringkat awal pembentukan siklon tropika, yang dicirikan oleh sistem angin dan awan berpusar dengan kelajuan angin yang masih rendah.
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia memaklumkan bahawa sistem cuaca tersebut sedang bergerak ke arah timur Semenanjung Malaysia dengan kelajuan sekitar 5 kilometer sejam dan berpotensi membawa angin kencang sehingga 56 kilometer sejam.
“Jarak lekukan tropika tersebut dari kawasan daratan terdekat dianggarkan kira-kira 81 kilometer ke Timur Laut Kuantan, Pahang.
“Keadaan ini mampu menyebabkan hujan lebat yang berterusan, angin kencang serta laut bergelora di perairan Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat persediaan menghadapi episod hujan lebat semasa Monsun Timur Laut.
Orang ramai turut diminta untuk peka terhadap maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi agensi tersebut atau talian hotline 1-300-22-1638.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back