KUALA LUMPUR – Ribut Tropika Senyar dikesan memasuki kawasan utara perairan Selat Melaka dan sedang bergerak ke arah barat Semenanjung Malaysia, sekali gus berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang serta keadaan laut bergelora bermula hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, memaklumkan bahawa ribut tropika tersebut sedang bergerak pada kelajuan kira-kira 24 kilometer sejam dan berada di utara Sumatera, Indonesia, iaitu sekitar 102 kilometer ke barat daya Lumut, Perak.
Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora yang melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, berkuat kuasa mulai hari ini hingga Sabtu.
“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan terkini,” jelas beliau menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta merujuk maklumat ramalan dan amaran cuaca terkini melalui laman sesawang MetMalaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi atau talian hotline 1-300-22-1638.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back