KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal, Noh Salleh berkongsi berita gembira apabila isterinya, Fatin Athira Mustapa selamat melahirkan anak pertama mereka pada Jumaat lalu.
Menurut Noh, 40, kehadiran bayi perempuan yang diberi nama Tara Svara itu membawa makna besar buat mereka sekeluarga selepas melalui pelbagai cabaran sebelum dikurniakan zuriat.
“Ia memerlukan kami melalui pelbagai ujian untuk menyedari bahawa hanya Allah yang menentukan masa terbaik untuk sesuatu menjadi milik kita. Tidak lambat, tidak terlalu cepat sempurna. Masya-Allah, Alhamdulillah,” kongsi Noh menerusi hantaran di Instagram awal pagi tadi.
Beliau turut memaklumkan proses kelahiran berjalan lancar, disulami suasana penuh emosi dengan sokongan keluarga dan insan terdekat.
“Pada 21 November, isteri saya melahirkan anak pertama kami. Seorang bayi perempuan yang sihat dan sangat cantik. Dengan doa restu keluarga, sahabat serta anda semua, kelahiran ini berlangsung dengan penuh kasih sayang,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Noh memohon doa orang ramai agar perjalanan mereka sebagai ibu bapa dipermudahkan.
“Sebuah fasa baharu untuk kami. Doakan kami bertiga sentiasa dalam lindungan Allah SWT,” tambahnya.
Noh dan Athira mendirikan rumah tangga pada 23 September 2023. Penyanyi itu turut berkongsi gambar keluarga kecilnya bersama Tara Svara di Instagram.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back