Kuching, Sarawak – Seorang penghuni terpaksa bertindak nekad terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan komersial di Metrocity Matang selepas bilik sewanya di tingkat bawah musnah dalam kebakaran malam tadi.
Menurut Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Tiong Ling Hii, lelaki tersebut memecahkan tingkap dan menuruni bangunan menggunakan cadar sebelum terjun untuk menyelamatkan diri.
“Lelaki itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kebakaran berlaku di tingkat bawah, manakala dia berada di tingkat tiga,” kata Tiong.
Hanya seorang penghuni dilaporkan berada di bilik sewa ketika kebakaran berlaku.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.54 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Adib Ibrahim, digerakkan ke lokasi dengan bantuan BBP Batu Lintang.
Dalam kejadian itu, ruang bilik sewa di tingkat dua bangunan tiga tingkat tersebut dilaporkan terbakar sepenuhnya. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.25 malam, memastikan keselamatan penghuni berhampiran dan mengelakkan api daripada merebak ke unit lain.
Setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back