KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori bahaya melibatkan empat negeri susulan jangkaan cuaca buruk yang dijangka berterusan sehingga esok.
Amaran tersebut merangkumi seluruh Perlis, beberapa daerah di Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Sik), Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh) serta Terengganu (Besut).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi, METMalaysia memaklumkan bahawa kawasan terbabit dijangka mengalami hujan sangat lebat secara berterusan, yang diklasifikasikan sebagai kategori bahaya.
Pada masa sama, hujan berterusan kategori buruk turut diramalkan berlaku di beberapa kawasan lain dalam negeri-negeri berkenaan, termasuk Pulau Pinang serta beberapa daerah di Kedah iaitu Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Di Perak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
Beberapa kawasan di Kelantan (Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang) serta Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman) turut diramal mengalami hujan lebat berterusan.
Sementara itu, hujan berterusan kategori waspada dijangka berlaku di Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak, selain beberapa kawasan di Pahang seperti Cameron Highlands, Lipis, Jerantut dan Kuantan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back