KUCHING – Kerajaan Sarawak akan meningkatkan kadar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) daripada RM800 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah mulai tahun hadapan.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kadar baharu bantuan tersebut akan diagihkan setiap empat bulan sekali, dengan setiap isi rumah menerima RM316 bagi setiap pembayaran.
“Tahun ini, pelaksanaan SKAS telah berjaya, dengan pemberian bantuan tahunan antara RM250 hingga RM800 kepada rakyat Sarawak yang layak. Sebanyak RM557 juta diperuntukkan, memberi manfaat kepada lebih 1.03 juta penerima,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Abang Johari menambah bahawa kenaikan bantuan ini bertujuan mencerminkan keperluan rakyat serta membantu mereka menghadapi kos sara hidup, selain memastikan setiap isi rumah sentiasa mempunyai makanan di atas meja.
Di bawah kadar baharu, warga emas yang tiada pasangan atau anak, berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, akan menerima kenaikan RM100, daripada RM400 kepada RM500, dengan setiap pembayaran berjumlah RM166.
Individu bujang yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah pula akan menerima peningkatan RM50, menjadikan jumlah bantuan daripada RM250 kepada RM300, dengan setiap pembayaran sebanyak RM100.
Dengan langkah ini, Kerajaan GPS memperuntukkan RM640 juta di bawah Belanjawan 2026 dan menjangkakan lebih daripada satu juta penerima akan mendapat manfaat daripada bantuan yang dipertingkatkan ini.
Abang Johari menegaskan: “Inilah Kerajaan GPS yang mendengar, bertindak balas dan menyampaikan. Kita bukan sekadar mengurus bajet, tetapi sedang memperbaiki kehidupan rakyat. Marilah kita terus membina sebuah Sarawak di mana tiada seorang pun yang tersisih, dan setiap warganya merasai kepedulian sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat.”
Sumber: Suara Sarawak
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back