Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpotensi berdepan tamparan lebih hebat sekiranya pihak berkuasa di empat negara luar mengesahkan wujud unsur jenayah dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan.
Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad berkata, Malaysia tetap akan berada dalam keadaan kalah jika siasatan antarabangsa mendapati wujud pelanggaran undang-undang, walaupun siasatan tempatan tidak menemui sebarang kesalahan.
“Itu bergantung kepada pihak berkuasa kita. Sekarang kita tunggu sahaja. Jika kita tidak menemui unsur jenayah, bagaimana pula jika empat negara lain mendapat keputusan sebaliknya? “Ia jadi 4-1, dan dalam bola sepak, keputusan itu pun menunjukkan kita sudah kalah,” katanya.
Sebelum ini, FIFA mencadangkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa lima negara, Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia susulan dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan.
Dalam perkembangan berkaitan, FAM turut dikritik kerana masih gagal mendedahkan individu sebenar yang didakwa menjadi dalang isu tersebut.
Ridzuan berharap pihak yang bertanggungjawab tampil didedahkan, bukannya terus memilih untuk mencabar keputusan FIFA sehingga mahu membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Siapa saja boleh buat silap dan dalam laporan FIFA itu pun kita akui mungkin ada kesilapan. Terima sahaja hukuman. Kita tidak boleh melawan FIFA; mereka mempunyai akses kepada fakta dan data dari seluruh dunia.
“Membawa kes ini ke CAS hanya akan membuatkan kita lebih malu di mata antarabangsa. Hukuman pun mungkin jadi lebih berat,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan awal FAM yang menggantung Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman, sedangkan kuasa sebenar dalam menguruskan dokumen identiti tidak berada di tangan beliau.
“Orang tertanya-tanya, sebesar mana kuasa Setiausaha Agung sampai boleh minta KDN keluarkan kad pengenalan?” ujarnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back