ALOR SETAR, 19 Nov (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun yang dilaporkan disengat ubur-ubur di Pantai Chenang, Langkawi Sabtu lepas meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Bapa kanak-kanak itu, Nikita Iakubanets, 32, berkata anaknya Vladimir disahkan meninggal dunia pada 9.46 pagi tadi selepas empat hari menerima rawatan di hospital itu.
“Anak saya telah terkena kesan racun ubur-ubur yang menjejaskan jantungnya. Doktor juga berkata yang anak saya mengalami kecederaan sangat teruk di kakinya.
“Menurut doktor, kecederaan itu disebabkan oleh sengatan ubur-ubur dan ia adalah ubur-ubur kotak atau box jellyfish,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di sini hari ini.
Nikita yang ditemai isterinya Olga, 32, berkata pasukan perubatan di HSB telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan anaknya dan merakamkan penghargaan di atas usaha mereka.
Menceritakan kejadian pada pagi Sabtu lepas, Nikita berkata dia bersama isteri dan anaknya sedang mandi di Pantai Chenang sebelum anaknya menjerit kesakitan.
Nikita berkata isterinya kemudian mengangkat anak mereka ke pantai dan cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum membawanya ke sebuah klinik berhampiran.
Beliau berkata anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi sebelum dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut keesokannya.
Nikita berkata ini merupakan kali pertama mereka sekeluarga ke Langkawi dan Malaysia selepas tiba pada 14 Nov serta bercadang berada di negara ini hingga 26 Nov.
Sementara itu, Olga berkata dia dan suaminya bercadang untuk membawa pulang abu mayat anak mereka ke Khabarovsk, Rusia.
“Dia (Vladimir) adalah wira kami. Setiap hari kami memberitahunya bahawa kami menyayanginya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak warga Rusia berusia dua tahun dimasukkan ke hospital selepas dikatakan disengat ubur-ubur dalam kejadian di Pantai Chenang, Langkawi, pada Sabtu.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back