AMPANG – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) bersedia memberikan maklum balas berhubung cadangan untuk menyemak semula garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam di negara ini.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata persatuan kurang arif mengenai kewujudan sebarang garis panduan khusus berkaitan etika berpakaian selebriti Islam di Malaysia.
“Garis panduan filem dan drama memang ada, tetapi untuk etika berpakaian selebriti beragama Islam, saya tak pernah dengar langsung,” katanya ketika ditemui pada sesi Ziarah Prihatin SENIMAN di kediaman pelakon Shahronizam Noor di Ampang, hari ini.
Shahronizam kini sedang menjalani proses pemulihan selepas pembedahan membuang ketumbuhan pada bahu kanannya bulan lalu, sambil menunggu keputusan ujian sama ada ketumbuhan tersebut adalah kanser atau tidak.
Cadangan semakan garis panduan ini timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, dilapor meneliti kemungkinan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti Islam yang berpakaian mencolok mata. Beliau juga dikatakan sedang mengkaji semula garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.
Isu ini hangat diperkatakan selepas penampilan kumpulan Dolla dalam video muzik terbaru mereka, Question, yang mendapat perhatian ramai kerana gaya fesyen yang dianggap seksi dan mencolok mata.
Zed, atau nama sebenar Rozaidi Abdul Jamil, 45, berkata jika SENIMAN diminta untuk memberikan pandangan atau maklum balas berkaitan isu ini, persatuan akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Kalau pihak berwajib panggil dan terangkan perkara yang sepatutnya, kita boleh sampaikan kepada artis-artis kita. Selalunya, siapa yang menggubal garis panduan dan undang-undang, dialah kena bekerjasama dengan persatuan supaya kita boleh hebahkan maklumat ini,” jelasnya.
Beliau menekankan bahawa kewujudan garis panduan berpakaian untuk artis beragama Islam penting sebagai rujukan persatuan.
“Sekarang, saya nak rujuk mana? Kalau ada garis panduan, tetapi tidak diberitahu atau dibuat ‘engagement’ dengan persatuan, macam mana kita nak sampaikan kepada artis? Ini yang selalu jadi masalah apabila garis panduan tidak dikomunikasikan, sedangkan peranan persatuan adalah untuk membantu kementerian atau agensi kerajaan mengenai apa sahaja garis panduan dalam industri seni,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back