PETALING JAYA – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan bahawa satu perubahan besar bakal berlaku dalam arena sukan negeri Johor dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Menerusi satu hantaran di media sosial yang memaparkan baginda bergambar bersama tiga tokoh sukan bertaraf dunia, baginda bertitah bahawa perubahan yang dimaksudkan itu akan membawa impak yang signifikan kepada pembangunan sukan negeri tersebut.
“Tiga juara dunia. Lelaki sejati, lelaki yang berpegang pada prinsip dan nilai. Bermula hari ini, banyak perkara akan berubah dalam beberapa bulan mendatang.
Apabila peningkatan bertemu keunggulan. Inilah takdir, Alhamdulillah,” titah baginda dalam kapsyen yang dimuat naik.
Gambar yang dikongsikan itu menunjukkan Tunku Mahkota Ismail bergambar bersama tiga ikon sukan dunia, iaitu bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov; bekas pemain ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams; serta bekas juara MMA dari Australia, Soa “The Hulk” Palelei.
Tinjauan Kosmo! mendapati rata-rata peminat sukan menyambut baik perkongsian tersebut dan menzahirkan harapan agar perubahan yang bakal diperkenalkan mampu melonjakkan prestasi sukan Johor ke peringkat antarabangsa.
“Johor akan menjadi mercu kejayaan sukan negara di persada dunia,” ujar pengguna @Tukqobin.
“Seorang pemimpin yang dihormati bukan hanya kerana kejayaan di pentas dunia, tetapi kerana memperjuangkan agama sebagai asas perjuangannya,” komentar pengguna @Merzaidey.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back