Beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul wakil Malaysia pertama memenangi Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 2023. Kejayaan tersebut turut menjadi gelaran ketiga mereka dalam siri Jelajah Dunia BWF.
Pasangan yang kini menghuni ranking nombor dua dunia itu mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam kedua-dua set untuk menewaskan gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga–Kie Nakanishi, yang berada di ranking ketujuh dunia, dengan keputusan 22–20, 21–19 pada aksi final di Gimnasium Wilayah Kumamoto.
Kemenangan berkenaan mengulangi kejayaan mereka di pentas final Terbuka Arctic di Finland bulan lalu, sekali gus mengukuhkan rekod pertemuan Pearly–Thinaah ke atas pasangan Jepun itu kepada 6–2.
Aksi final bermula dengan kurang baik bagi Pearly–Thinaah apabila ketinggalan 0–7 dan 5–11, malah hampir kehilangan set pertama ketika tertinggal 15–20. Namun, mereka bangkit mengutip tujuh mata berturut-turut untuk menamatkan set tersebut dengan kemenangan 22–20.
Iwanaga–Nakanishi sekali lagi memulakan set kedua dengan agresif, mendahului 8–3 dan 11–9 sebelum rehat. Bagaimanapun, disiplin dan ketenangan permainan Pearly–Thinaah membolehkan mereka menyamakan kedudukan 14–14 sebelum menutup set dengan kemenangan 21–19 selepas 54 minit perlawanan.
Dengan kejayaan itu, Pearly–Thinaah mengatasi pencapaian terbaik Malaysia di kejohanan tersebut sebelum ini, iaitu naib juara perseorangan lelaki menerusi Leong Jun Hao pada edisi lalu.
Sebagai juara, Pearly–Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM155,071), manakala pasangan Iwanaga–Nakanishi menerima AS$18,050 (RM74,591) selaku naib juara.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back