KUALA LUMPUR, 5 Nov - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan dijangka berdepan laluan sukar dalam usaha mencabar keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Christopher Raj, berkata berdasarkan rekod, peluang untuk memenangi kes menentang FIFA di CAS amat tipis.
Menurutnya, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, badan induk bola sepak dunia itu tidak pernah tewas dalam mana-mana kes yang dibawa ke CAS.
“Pada 2023 dan 2024, terdapat 54 kes yang dibawa ke CAS menentang FIFA — dan FIFA menang kesemuanya. Ini menunjukkan betapa kukuhnya perundangan serta dokumen undang-undang mereka,” katanya kepada BH Sukan.
Christopher menambah, keputusan memihak kepada FAM di CAS akan menjadi satu keajaiban berdasarkan rekod tersebut.
“Apabila Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan hukuman dan Jawatankuasa Rayuan pula mengekalkannya, biasanya keputusan itu tidak berpihak kepada persatuan di CAS,” jelasnya.
Baru-baru ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Rayuan itu berkaitan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu, yang mendapati mereka bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung pemalsuan dokumen.
Susulan keputusan itu, FAM denda CHF 350,000 (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan dan dikenakan denda CHF 2,000 (RM10,411) setiap seorang.
FAM melalui Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, memaklumkan badan induk itu akan membawa kes berkenaan ke CAS bagi mendapatkan keadilan.
“Ini kali pertama FAM berdepan situasi sebegini. Kami amat terkejut dengan keputusan FIFA, namun akan terus memperjuangkan hak pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
FAM kini mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis daripada FIFA, dan selepas menerima dokumen tersebut, 21 hari lagi untuk mengemukakan rayuan rasmi ke CAS.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back