ISTANBUL, 29 Okt (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera pada Selasa dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza, menandakan pelanggaran terbaharu terhadap perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Palestin, Hamas, menurut sumber perubatan.
Serangan itu berlaku di kawasan yang dikenali sebagai “garisan kuning”, menurut sumber perubatan dan saksi kepada Anadolu Ajansi (AA).
“Garisan kuning” merujuk kepada zon yang telah dikosongkan selepas tentera Israel berundur di bawah perjanjian gencatan senjata. Ia merupakan sempadan fizikal yang merentasi Semenanjung Gaza, membahagikan wilayah itu kepada dua bahagian dan terletak di dalam wilayah Gaza antara bahagian selatan Bandaraya Gaza dan utara Khan Younis.
Satu serangan ke atas sebuah rumah di kejiranan Sabra di barat Bandaraya Gaza membunuh empat rakyat Palestin dan mencederakan sembilan yang lain serta menyebabkan beberapa lagi hilang di bawah runtuhan, menurut sumber itu.
Tiga rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara yang mengenai sebuah rumah di kawasan al-Yarmouk di tengah Bandaraya Gaza.
Seorang kanak-kanak terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan Israel ke atas sebuah pangsapuri di Al-Jalaa Street di barat Bandaraya Gaza.
Satu lagi serangan udara menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Al-Shati, juga di barat Bandaraya Gaza.
Tiga rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan Israel yang mengenai sebuah sekolah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di bandar Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza.
Lima lagi rakyat Palestin terbunuh apabila tentera Israel menyerang sebuah kenderaan di Khan Younis di selatan Gaza.
Serangan udara Israel turut membunuh dua rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain selepas mengenai sebuah pangsapuri di kejiranan Al-Amal di barat Khan Younis.
Tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan udara dan artileri di seluruh Gaza pada Selasa susulan arahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk melaksanakan “serangan segera dan kuat” atas dakwaan pelanggaran gencatan senjata oleh Hamas.
Menurut wartawan AA, satu serangan udara mengenai kem pelarian Al-Shati di barat Bandaraya Gaza, manakala tembakan artileri menyasarkan kawasan di timur Deir al-Balah di tengah Gaza. Peluru berpandu turut mengenai kawasan sekitar Kompleks Perubatan Shifa di Bandaraya Gaza.
Perjanjian gencatan senjata itu telah berkuat kuasa sejak 10 Okt di bawah pelan 20 perkara oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Fasa pertama perjanjian itu merangkumi pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin. Pelan itu turut merangkumi usaha membina semula Gaza dan penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penyertaan Hamas.
Israel telah membunuh lebih 68,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 170,000 yang lain dalam serangan ke atas Gaza sejak Oktober 2023.
Sumber: BERNAMA-ANADOLU
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back