KUCHING, 26 Okt - Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Cawangan Sarawak menyasarkan jualan sebanyak RM2.2 juta sepanjang penganjuran Festival Kraf Borneo 2025, yang berlangsung selama 10 hari bersempena Regatta Sarawak 2025.
Pengarah Kraftangan Malaysia Sarawak, Mohd Fu’ad Ariffin, berkata pihaknya turut menyasarkan kehadiran 120,000 pengunjung ke festival berkenaan yang berlangsung di Tebingan Kuching.
“Setakat hari kedua penganjuran, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan dan kami berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Tahun ini, festival berkenaan menghimpunkan 111 usahawan kraf dari seluruh negara, sekali gus menjadikannya antara penganjuran terbesar di bawah Kraftangan Malaysia.
Menariknya, edisi 2025 memperkenalkan platform padanan perniagaan antara usahawan kraf dan pihak industri, inisiatif baharu yang bertujuan memperkukuh rangkaian perniagaan dan membuka peluang pasaran baharu.
Menurut Mohd Fu’ad, platform itu memberi ruang kepada agensi kerajaan, swasta serta korporat untuk membuat pembelian terus atau menempah produk khas mengikut keperluan masing-masing.
Sesi padanan itu diadakan pada hari bekerja bagi membolehkan perbincangan dilakukan secara teratur tanpa mengganggu aktiviti jualan umum pada hujung minggu.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan inisiatif berkenaan merupakan projek rintis di Sarawak, bagi menilai keberkesanan program sebelum diperluaskan ke negeri lain.
“Program seumpama ini telah dilaksanakan di beberapa negeri lain dan hasilnya sangat positif, dengan peningkatan ketara dari segi jualan dan tempahan. Kami mahu melihat sama ada Sarawak boleh mencapai impak yang sama atau lebih baik,” katanya.
Festival Kraf Borneo 2025 dijangka menjadi antara acara tumpuan utama tahun ini, bukan sahaja mempromosikan seni kraf tempatan tetapi juga merancakkan ekonomi kreatif negeri.
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back