KUCHING, 26 Okt – Sambutan Maulid Akbar Sarawak 3.0 mencatat kejayaan luar biasa apabila lebih 5,000 umat Islam membanjiri Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Menurut Pengurus Projek, Zawawi Daud, sambutan kali ini jauh melebihi jangkaan penganjur dan menjadi simbol penerimaan masyarakat Islam Sarawak terhadap majlis selawat yang diperkenalkan sejak dua edisi terdahulu.
“Apabila kami mula menganjurkan program di Dewan CIDB dua tahun lalu, ramai yang tidak berpeluang masuk kerana ruang terhad. Melihat sambutan yang semakin meningkat, kami memilih BCCK, dewan terbesar di Kuching agar lebih ramai dapat turut serta,” katanya ketika ditemui TVS selepas program berakhir.
Beliau berkata, dua edisi sebelumnya juga menerima sambutan menggalakkan daripada umat Islam di seluruh Sarawak, sekali gus menjadikan edisi ketiga tahun ini lebih tersusun dan berimpak besar.
Tahun ini, penganjur berjaya menampilkan pendakwah dan tokoh agama terkenal tanah air, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid, yang dikenali dengan pendekatan dakwah berteraskan kasih sayang serta adab Rasulullah SAW.
Jelas Zawawi, pemilihan BCCK bukan sahaja bagi menampung jumlah kehadiran yang besar, tetapi juga memastikan keselesaan jemaah lelaki dan wanita yang hadir.
Program bermula sekitar jam 6 petang dengan bacaan Wiridul Latif oleh Syafiq Muhibbin, diikuti solat Maghrib dan Isyak berjemaah dipimpin oleh Imam Masjid Darul Hanna, Isman Hadi Jaafar.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan dua sesi tazkirah oleh Ustaz Husaini Hamdan dan Al Habib Musthofa Ali Al Haddad, sebelum diakhiri dengan Tausiyah Perdana oleh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid, yang menutup malam penuh keberkatan itu.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back