GENEVA, 23 Okt — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan telah melaksanakan pemindahan perubatan pertama dari Gaza sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober, membabitkan 41 pesakit kritikal.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata menerusi hantaran di platform X bahawa operasi itu menandakan penyambungan semula pemindahan pesakit yang tertangguh selama beberapa bulan akibat pertempuran sengit di wilayah berkenaan.
“WHO hari ini mengetuai pemindahan perubatan 41 pesakit kritikal bersama 145 pengiring keluar dari Gaza — yang pertama sejak gencatan senjata,” tulisnya.
Menurut beliau, kira-kira 15,000 pesakit masih menunggu kelulusan untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza, sambil menegaskan ramai antara mereka memerlukan rawatan segera yang tidak dapat disediakan di kemudahan kesihatan tempatan yang rosak akibat konflik.
“Kami terus menyeru negara-negara agar menunjukkan solidariti dan membuka semua laluan bagi mempercepatkan pemindahan perubatan,” tambah Tedros.
Agensi Anadolu melaporkan bahawa operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi kemanusiaan antarabangsa bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang diperlukan secepat mungkin.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back