LIVERPOOL, 21 Okt — Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Liverpool di Anfield awal pagi tadi sebagai hadiah paling bermakna buat seluruh penyokong kelab itu.
Kejayaan bersejarah itu bukan sahaja menandakan dua kemenangan berturut-turut sejak Amorim mengambil alih pasukan pada November tahun lalu, malah ia juga merupakan kemenangan pertama United di Anfield sejak 2016.
“Ini kemenangan paling besar buat saya sejak tiba di Manchester United. Hari ini ia amat bermakna, tetapi esok ia sudah tidak membawa sebarang nilai,” kata Amorim selepas perlawanan.
Pengurus dari Portugal itu menegaskan fokus kini beralih kepada aksi menentang Brighton di Old Trafford hujung minggu ini, yang disifatkannya lebih penting dalam menentukan aspirasi pasukan musim ini.
Kemenangan di Anfield membantu United naik ke tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris, dengan empat kemenangan daripada lapan perlawanan, hanya dua mata di belakang Liverpool yang kini di tempat keempat.
“Kejayaan ini sangat penting untuk para penyokong. Mereka melalui saat sukar ketika kami menentang Grimsby dan Brentford, namun hari ini kami memberikan perasaan yang berbeza.
Menang di stadium pasukan juara dan menewaskan musuh paling besar kami adalah sesuatu yang sukar digambarkan,” jelas Amorim.
Dalam aksi penuh dramatik itu, Bryan Mbeumo membuka jaringan seawal minit pertama, sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan untuk Liverpool pada minit ke-78. Namun, Harry Maguire muncul wira apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-84, memastikan malam manis buat skuad Red Devils.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini