KUALA LUMPUR, 16 Okt – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan mata pelajaran baharu, Pendidikan Karakter, mulai tahun depan bagi memperkukuh pembangunan sahsiah dan peribadi murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pelaksanaan subjek itu akan dimulakan di peringkat prasekolah sebagai sebahagian daripada persiapan menuju Kurikulum Persekolahan 2027.
Beliau menjelaskan bahawa Pendidikan Karakter akan menjadi teras utama kurikulum baharu tersebut, seiring dengan usaha berterusan KPM menekankan nilai, akhlak dan jati diri dalam sistem pendidikan negara.
“Kita sedang membuat persiapan untuk kurikulum baharu 2027, dan dalam kurikulum ini akan ada satu mata pelajaran penting iaitu Pendidikan Karakter.
Subjek ini akan menjadi tunjang kepada pelaksanaan kurikulum baharu yang bermula pada 2026,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina berkata pendekatan berasaskan karakter ini diharap dapat memperkukuh nilai dan sahsiah murid di semua peringkat persekolahan.
Menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN–Temerloh) berhubung usaha membentuk jati diri dan nilai murni dalam kalangan pelajar, beliau menegaskan bahawa elemen tersebut akan terus diberi keutamaan dalam kurikulum baharu.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) mengenai kesihatan mental pelajar, Fadhlina memaklumkan bahawa KPM melaksanakan saringan minda sihat dua kali setahun bagi mengesan tanda awal kemurungan dan tekanan.
Katanya, murid yang dikenal pasti memerlukan sokongan akan dirujuk kepada pakar atau Kementerian Kesihatan (KKM) untuk intervensi lanjut.
“Intervensi oleh pakar psikiatri telah pun dilaksanakan, namun reformasi segera akan memperkukuh lagi latihan dan program sokongan.
Usaha ini juga memerlukan peranan aktif ibu bapa yang paling hampir dengan anak-anak di rumah,” jelasnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini