KUALA LUMPUR, 16 Okt - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan enam langkah utama yang perlu diambil oleh ibu bapa, guru dan pelajar bagi mengekang penularan jangkitan influenza di sekolah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak menunjukkan sebarang gejala seperti demam, selesema atau batuk sebelum dihantar ke sekolah.
“Sekiranya anak bergejala, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dan segera mendapatkan rawatan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memantau keadaan anak yang mengalami gejala influenza, dan segera mendapatkan rawatan ulangan jika simptom bertambah teruk bagi mengelakkan komplikasi.
Bagi pihak sekolah, guru digalakkan menasihatkan pelajar yang bergejala supaya tidak memasuki kelas serta mendapatkan rawatan sebelum sesi persekolahan bermula.
Selain itu, guru disaran memperkukuh pendidikan kesihatan dalam kalangan pelajar bagi menggalakkan pemakaian pelitup muka dan amalan kebersihan tangan sebagai langkah kawalan kendiri.
Dr. Dzulkefly turut mengingatkan pihak sekolah agar melaporkan segera sebarang kes influenza kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran supaya tindakan pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau menambah, penutupan sekolah juga boleh dipertimbangkan melalui perbincangan dengan PKD jika penularan berlaku secara meluas.
“Namun, jika jangkitan hanya melibatkan kumpulan tertentu, langkah kawalan harus difokuskan kepada kumpulan tersebut,” katanya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini